Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjelaskan pelaksanaan mata demerit tiada kaitan dengan hukuman kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

JPJ dalam satu kenyataan berkata, isu hukuman berganda tidak wujud dalam pelaksanaan sistem ini.

"Ketua Pengarah JPJ mempunyai kuasa menggantung atau membatalkan lesen mengikut Seksyen dan Seksyen 35A Akta 333.

“Berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan dalam kedua-dua peruntukan itu, Ketua Pengarah boleh menggunakan budi bicara dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.

"Oleh itu, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (kompaun atau sabitan oleh mahkamah) bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut Akta 333," katanya.

Menurutnya, kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya digunakan berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus dilaksanakan berdasarkan suatu kesalahan yang dilakukan.

"Jadi, JPJ ingin menjelaskan isu hukuman berganda tidak berbangkit sama sekali dalam sistem mata demerit dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen mengikut Seksyen 35 dan 35A Akta 333," katanya.

JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 8:28 PM