Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Alor Setar: Tiga anak Allahyarham Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan isteri, Suriya Abdul Rahman, 37, yang cedera dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri, pagi semalam, masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Dalam kemalangan itu, Irdina Aliah, 11, patah tulang kaki kanan, Insyirah Aliah, 10, patah tulang tangan kanan dan Imanina Aliah, 6, patah tulang paha kiri.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, Irdina Aliah menjalani pembedahan kaki kanan bermula jam 2.30 petang hingga 4.20 petang tadi.

"Imanina Aliah pula selamat menjalani pembedahan bermula jam 8.50 pagi dan selesai jam 1 tengah hari tadi.

"Insyirah Aliah pula diberi rawatan tanpa pembedahan dan ketiga-tiga mereka stabil," katanya dalam kenyataan petang tadi.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa juga diletakkan di bawah pemantauan dan penjagaan pakar psikiatrik bagi memastikan aspek psikologi mereka stabil.

"Tiga beradik terbabit juga diletak di bawah penjagaan pakar kanak-kanak dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Datuk Azuyah Hassan berkata, Pejabat Pendidikan Daerah Baling (PPD) membantu keluarga terbabit dari segi kewangan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak serta urusan tuntutan insurans takaful.

"JPN dan PPD juga akan membantu segala urusan persekolahan murid terbabit selepas berbincang dengan waris mereka," katanya.

Dalam kemalangan 7.10 pagi semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan isterinya maut manakala empat anak mereka yang berusia antara enam hingga 11 tahun cedera.

Mangsa sekeluarga menaiki Myvi dalam perjalanan menghantar Suriya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri sebelum sebuah Toyota Hilux merempuh belakang kereta.

Akibat rempuhan itu kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar Honda City hingga menyebabkan suami isteri meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 9:52 PM