Sebahagian daripada 15 kediaman di enam kampung yang dinaiki air akibat hujan lebat selama tiga jam petang tadi. FOTO ihsan JKM
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan sekurang-kurangnya 15 rumah di enam kampung, di sini, dinaiki air, petang tadi.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Pokok Sena, Kampung Asam Jawa, Charok Gorok, Banggol Asam Jawa, Charok Salang dan Kampung Ketemba Kuala Pegang .

Tiga rumah penduduk di Kampung Banggol Asam Jawa terputus hubungan selepas jalan ke kediaman rosak dan runtuh.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, hujan lebat berterusan sejak 3 petang tadi menyebabkan beberapa rumah dinaiki air.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan dan pemantauan dilakukan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Kita menasihatkan penduduk berpindah ke tempat selamat sekiranya air semakin naik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 9:32 PM