Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Seramai 26 wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 42 tahun yang dipaksa menjadi tukang cuci diselamatkan polis di sebuah premis, di sini, 6 petang semalam.

Difahamkan, mereka dipaksa menjadi tukang cuci dari rumah ke rumah sejak tiga tahun lalu dan dikurung di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa bekerja lapan jam sehari dan dibayar RM30 walaupun majikan mengenakan bayaran RM120 terhadap pelanggan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan tiga wanita termasuk seorang warga asing yang berada di kaunter premis dipercayai penyelia kepada mangsa.

"Ketika melakukan pemeriksaan di bahagian atas premis, kami menemui 26 wanita Indonesia di bilik masing-masing dan hasil temubual ringkas mendapati wujud unsur pemerdagangan orang," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua dibawa ke IPDSPT bagi tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 4:59 PM