Caroline Wozniacki

Baru seminggu tahun baru berlalu namun Rory McIlroy sudahpun menemui cinta baru dalam hidupnya yang kini menjadi gosip terbaru dan hangat diperkatakan dalam dunia golf di seluruh dunia.

Juara Terbuka PGA dan AS itu dikaitkan dengan beberapa wanita popular apabila menjalinkan hubungan romantik selepas berpisah dengan pemain tenis terkemuka Caroline Wozniacki Mei tahun lalu namun hubungan kali ini dikatakan amat berbeza.

Masih ingatkah anda apabila McIlroy hampir menghancurkan peluang sebelum pasukannya melakarkan keajaiban merangkul Piala Ryder di Medinah apabila dia terlewat untuk ke lapangan kerana tertidur?

Dia kini dilaporkan menjalinkan hubungan dengan salah seorang daripada kakitangan PGA yang datang mengejutkannya sebelum polis bergegas membawanya ke lapangan pada pagi September 2012.

Wanita yang dimaksudkan itu adalah Erica Stoll, seorang gadis berusia 27 tahun, berambut perang dan bertugas sebagai Pengurus Kejohanan Operasi Sukarelawan di PGA AS.

Pasangan itu dikatakan sudah menjalinkan hubungan hampir tiga bulan dan menurut akhbar di Ireland, mereka dilihat bersama ketika sambutan tahun baru di sebuah hotel mewah di Ashford Castle di County Mayo, Ireland.

McIlroy berkongsi gambar botol champagne bersama dua gelas dan memakai napkin yang mempunyai logo hotel pada malam itu di laman sosial Instagram.

Setahun lalu, Caroline menunjukkan cincin pertunangan selepas McIlroy diajukan soalan berhubung keretakan hubungan mereka. Aksinya yang merudum turut menyebab­kan ramai tertanya-tanya mengapa persembahannya begitu teruk dan kini masa merubah segalanya.

Sejak itu pelbagai khabar angin bertiup kencang mengaitkan pemain nombor satu dunia berusia 25 tahun itu dengan model terkenal Ireland Nadia Forde yang kemudiannya muncul dalam I'm A Celebrity, Get Me Out of Here, selain menjalinkan hubungan dengan penyambut tetamu Sasha Gale, model dari Afrika Selatan Shashi Naidoo dan terbaru Erica.

McIlroy kini kembali menjalani persediaan untuk beraksi di Kejohanan Golf Abu Dhabi HSBC di Emeriah Arab Bersatu pada 15 Januari ini.

Sasaran utamanya tahun ini adalah untuk meleng­kapkan karier Grand Slam dengan memenangi kejohanan Masters April ini.

Sekiranya pemain itu berjaya menyarung jaket hijau di Augusta National dia bakal menjadi pemain golf pertama selepas Tiger Woods memenanginya pada 2001 memiliki semua gelaran utama apabila dia beraksi di Terbuka AS di Chambers Bay pada Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:01 AM