MOHD Fadzil dan Julaiha maut dalam kemalangan di Kilometer 24, Bukit Tiga, Jalan Mawai-Kuala Sedili, petang semalam. FOTO ihsan PDRM
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Kota Tinggi: Suami isteri maut, tiga yang lain parah selepas tiga kenderaan termasuk motosikal terbabit kemalangan di Kilometer 24, Bukit Tiga, Jalan Mawai-Kuala Sedili di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Asisten Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian pada 5.35 petang itu mengakibatkan Mohd Fadzil Noh, 37, yang juga pemandu Perodua Alza dan penumpang hadapan, Julaiha Senin, 36, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang belakang kereta itu, Ramadan Satri, 33, parah.

"Turut parah, pemandu Mitsubishi Triton yang beralamat di Kampung Gembut Tanjung Sedili, Mohamad Azrul Hamdi Rosman, 17, dan penunggang motosikal, Fazidatulakhmar Safiee, 35, yang menetap di Batu 1, Tanjung Sedili di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Mitsubishi Triton yang memasuki laluan bertentangan sehingga berlakunya kemalangan itu.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan Mitsubishi Triton yang menghala ke arah Kota Tinggi cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya (tidak dikenal pasti) memasuki laluan bertentangan.

"Keadaan itu mengakibatkan kenderaan dipandu kenderaan pikap itu bertembung dengan Perodua Alza dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama penunggang motosikal yang berada di belakang Perodua Alza tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kanan kenderaan dihadapannya itu.

Kes disiasat Inspektor Rasyidah Abdul Rahman mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 4:09 PM