PEMANDU dibawa ke mahkamah majistret Baling. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Pemandu Toyota Hilux yang terbabit kemalangan yang mengorbankan nyawa Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling dan isteri di Jalan Kupang-Baling, semalam direman empat hari bermula hari ini.

Wanita berusia 37 tahun berasal dari Jalan Kroh di sini, tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini pada 8.30 pagi dengan berpakaian lokap berwarna oren dan kedua-dua tangan bergari, diiringi dua anggota polis.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izmi Ibrahim selepas dipohon pihak polis mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, polis mendapat perintah reman terhadap wanita itu bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukan dadah ke dalam badan sendiri.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam, Asisten Superintendan Mond Noor Mat Yaub, 38, dan isteri, Suriya Abdul Rahman, 37, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Teduri, di sini, maut selepas kereta dinaiki bersama empat anak mereka terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain ketika dalam perjalanan ke sekolah terbabit.

Kejadian berlaku ketika Perodua Myvi dinaiki enam sekeluarga itu berhenti untuk memasuki simpang sebelum dirempuh Toyota Hilux dari belakang.

Kereta berkenaan kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City.

Kejadian turut menyebabkan empat anak arwah Md Noor berusia antara enam hingga 11 tahun cedera, manakala lelaki berusia 32 tahun yang memandu Honda City turut dilapor parah.

Berita berkaitan:

Pegawai kanan polis, isteri terbunuh

Pemandu positif dadah [UPDATE]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 10:54 AM