Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Wanita berusia 37 tahun yang memandu Toyota Hilux dalam kemalangan sehingga mengorbankan dua nyawa di Kampung Teluk Teduri, Jalan Baru Kupang-Baling, pagi tadi, ditahan polis selepas disahkan positif dadah.

Pemandu berasal dari Baling itu disahkan positif dadah jenis methamphetamine berdasarkan saringan awal ujian air kencing dilakukan.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, wanita terbabit ditahan sejurus kemalangan itu untuk membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan nyawa Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Daud, 38, dan isteri, Suriya Abdul Rahman, 37.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pemandu terbabit dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Baling untuk mendapatkan perintah tahanan reman esok," katanya ketika dihubungi tadi.

Harian Metro Online hari ini melaporkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dan isterinya maut manakala empat anaknya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, Mohd Noor sekeluarga menaiki Myvi dalam perjalanan menghantar isterinya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri sebelum sebuah Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar Honda City dari arah Kupang ke Baling menyebabkan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:25 PM