Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Tiada sebarang penemuan dilaporkan dalam operasi mencari dan menyelamat kru kapal KD Perantau yang dikhuatiri jatuh di perairan Bintulu yang masuk hari kedua hari ini.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, aset laut yang berada di sektor pencarian kini adalah KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta KM Tabah dan KM Pekan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Turut terbabit dalam pencarian mangsa hari ini adalah Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan pesisir pantai Kuala Balingin hingga Tanjung Payung dan di perairan Miri iaitu 10 batu nautika dari pesisir pantai Tanjung Lobang hingga Kuala Sungai Miri.

“Pesawat Beechcraft B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Super Lynx yang turut melakukan pencarian bagaimanapun melaporkan tiada sebarang penemuan setakat ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Laut Labuan juga sudah mengumumkan kehilangan anggota menerusi Navigation Telex (NAVTEX) ke semua kapal di perairan Sabah dan Sarawak.

"TLDM berharap, dengan kerjasama daripada semua pihak akan memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa," katanya.

Dalam kejadian jam 9 pagi semalam, anggota TLDM itu hilang dipercayai jatuh ke laut selepas kali terakhir dilihat di bilik rehat pada 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal itu melawat Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk ulang bekal sebelum meneruskan pelayaran pulang ke Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 10:24 PM