Mohd Noor dan Suriya dikebumikan dalam satu liang lahad. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof
am@hmetro.com.my


Tanah Merah: Jenazah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling dan isterinya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buluh, Gual Ipoh, di sini, 6.30 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Asisten Superintendan Mohd Noor Mat Yaub, 38 dan Suriya Abdul Rahman, 37, dari Baling Kedah, tiba di Kampung Buluh pada 6 petang.

Jenazah mereka kemudian disembahyangkan di rumah bapa mentua Allahyarham Mohd Noor, Abdul Rahman Daud, 60, yang dihadiri lebih 500 jemaah termasuk ahli keluarga, jiran tetangga, penduduk kampung dan pegawai serta anggota polis.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad.

Dalam kemalangan jam 7 pagi tadi di Kampung Teluk Teduri Jalan Baru Kupang-Baling, Kedah menyebabkan suami isteri itu meninggal dunia dan empat anak mereka yang berusia antara enam hingga 11 tahun cedera.

Mangsa sekeluarga menaiki kereta Myvi dalam perjalanan menghantar isterinya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri dan sebaik sampai di lokasi kejadian memberhentikan keretanya untuk membelok ke kiri apabila tiba-tiba sebuah pikap Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

Akibat rempuhan itu kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta Honda City yang datang dari arah Kupang ke Baling hingga menyebabkan suami isteri itu parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 8:01 PM