ATHIRAH tekun mengurut pelanggan wanita.
FAZDEE mengurut kaki pelanggan yang mendapatkan khidmatnya di Thes Wellness.
KAKITANGAN Thes Wellness Lake Fields, Sungai Besi.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Kecacatan bukan halangan untuk terus berjaya dalam bidang diceburi. Ini dibuktikan dua tukang urut muda, Fazdee Mansor, 24, dan Athirah Azman, 24, yang menghadapi masalah cacat penglihatan sejak kecil.

Bekerja sebagai tukang urut secara sepenuh masa di Thes Wellness Lake Fields, Sungai Besi, masa depan mereka lebih terjamin sekali gus dapat mengubah persepsi negatif masyarakat kita mengenai golongan senasib.

Fazdee berkata, bukan mudah untuk dia terima kenyataan selepas mengetahui statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan ketika berusia enam tahun dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk bangkit semula.

“Sebenarnya saya cacat penglihatan sejak lahir, tetapi keluarga hanya menyedarinya apabila berusia enam tahun. Itu pun selepas guru memberitahu ibu bapa kelakuan saya yang pelik di sekolah seperti tidak dapat membaca dan melihat objek pada jarak paling dekat.

“Selepas melakukan pemeriksaan di hospital dan disahkan cacat penglihatan tahap B2, saya sangat kecewa kerana bercita-cita menjadi perajurit. Saya terpaksa lupakan cita-cita itu kerana kenyataan tidak boleh melihat dunia dan terpaksa menerima ejekan, disisihkan rakan sekelas serta guru di sekolah kira-kira setahun,” kata anak kelima daripada enam beradik ini.

Bagaimanapun, kecekalan dan semangat yang tinggi dalam diri Fazdee mengubah segalanya apabila dipindahkan ke Sekolah Rendah Kubang Kerian, Kuala Terengganu dan ditempatkan di kelas pendidikan khas. Dia menamatkan pengajian sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, sebaik saja tamat SPM, dia memohon melanjutkan pengajian dalam bidang urutan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Kuala Lumpur kerana dia melihat masa depannya yang cerah menerusi kerjaya ini.

“Saya ditawarkan menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tetapi menolaknya kerana lebih minat untuk belajar mengurut. Selepas impian saya untuk bergelar seorang askar ‘terkubur’, saya suka mengurut ayah dan rakan menyebabkan timbul minat untuk belajar tekniknya dengan lebih mendalam.

“Saya belajar mengurut di MAB selama setahun dan menjadi tukang urut sambilan kira-kira dua tahun sebelum ditawarkan bekerja di Thes Wellness Lake Fields, Sungai Besi awal tahun ini. Saya sangat gembira kerana berjaya buktikan kepada orang ramai OKU seperti saya juga mampu berjaya dan menjalani kehidupan biasa.

“Oleh itu, saya berharap rakan senasib macam saya berusaha mencapai impian masing-masing dan tidak mudah patah semangat untuk mendapatkan pekerjaan tetap supaya hidup kita lebih terjamin pada masa akan datang.

“Orang ramai diharapkan terus menyokong usaha kami dan datang ke sini untuk mendapatkan khidmat urut kami,” kata pemegang Sijil Kemahiran Malaysia MAB Tahap 3 ini.

Lain pula kisah Athirah Azman yang cacat penglihatan kerana faktor keturunan keluarganya. Meskipun disahkan OKU cacat penglihatan sejak usia enam bulan, Athirah Azman dihantar ke sekolah rendah swasta dan bergaul dengan orang normal menjadikan dirinya lebih berkeyakinan tinggi.

Namun keadaan mula berubah apabila dia dipindahkan ke sekolah rendah kerajaan pada usia 10 tahun atas faktor tertentu. Persekitaran yang berubah secara tiba-tiba menyebabkan Athirah mula berasa rendah diri dan tidak bersemangat belajar kerana sering diejek rakan sebaya.

“Sejak itu, saya kurang minat belajar kerana tertekan dengan ejekan rakan dan ibu bapa mulai risau menyebabkan saya ditukarkan ke Sekolah Pendidikan Khas, Jalan Batu. Saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan menjalani kehidupan biasa sehingga tamat STPM.

“Selepas itu, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di MBA dalam bidang urutan kerana persaingan sengit dalam kalangan graduan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.

“Saya bersyukur selepas setahun menjadi tukang urut sambilan, saya ditawarkan bekerja di Thes Wellness Lake Fields, Sungai Besi dan sudah tiga bulan saya berkhidmat di sini.

“Saya mahu mengubah persepsi masyarakat bahawa OKU bukan saja boleh meminta malah kami juga mampu memberi dan membina karier sendiri. Bukan itu saja, golongan senasib seperti saya juga perlu cari peluang supaya dapat membina masa depan lebih terjamin,” katanya yang akan mewakili negara dalam pertandingan catur kategori paralimpik di Sukan SEA nanti.

Pengurus Cawangan Thes Wellness Lake Fields Sungai Besi Zulkifli Hassan berkata, penubuhan pusat rawatan urutan Thes Wellness ini cetusan idea Tengku Azlan Sultan Abu Bakar bagi memberi peluang pekerjaan yang tetap kepada OKU cacat penglihatan daripada pelbagai bangsa.

“Pusat rawatan ini ditubuhkan pada Januari lalu dan mempunyai dua lagi cawangan di Hospital Mata Tun Hussein Onn, Petaling Jaya serta di Taman Midah, Cheras. Di setiap cawangan kami mempunyai empat tukang urut lelaki dan perempuan yang semuanya dalam kalangan belia.

“Setakat ini, mereka berkebolehan melakukan urutan badan, kaki, kepala, bahu dengan harga antara RM30 hingga RM50 selama 60 minit dan merancang menambah perkhidmatan rawatan bekam dalam masa terdekat.

“Kami mahu membantu OKU cacat penglihatan ini dengan memberi pekerjaan tetap bersama gaji bulanan, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya supaya kehidupan mereka lebih terjamin pada hari tua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 3:12 AM