KD Perantau milik TLDM yang membawa 80 anak kapal dalam pelayaran dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu ke Lumut. FOTO ihsan Markas Wilayah Laut 2 TLDM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hilang dipercayai terjatuh ke laut di perairan Bintulu, Sarawak, jam 9 pagi tadi.

Mangsa yang juga anak kapal KD Perantau kali terakhir dilihat berada di bilik rehat pada 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, bilik operasi mencari dan menyelamat ditubuhkan di Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

“Usaha pencarian di laut dilaksanakan oleh KD Selangor dan helikopter Fennec, selain dibantu kapal maritim (KM) Tabah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Bintulu.

“Selain itu, Markas Wilayah Laut 2 turut memohon bantuan udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)," katanya dalam kenyataan media tadi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku di perairan kira-kira 90 batu nautika barat daya Bintulu.

KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal berada di Malaysia timur selama enam hari selepas melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.

Pelabuhan terakhir dilawati ialah Pangkalan TLDM Kota Kinabalu untuk ulang bekal sebelum meneruskan pelayaran pulang ke Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 10:14 PM