PASUKAN penyelamat menemui semua mangsa berhampiran kaki gunung. FOTO Wan Nor Amirah Wan Mohd Redza
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Rembau: Empat pelajar perempuan sekolah swasta dan seorang rakan lelaki mereka yang sesat lebih tujuh jam di Hutan Lipur Gunung Datuk, di sini, ditemui selamat oleh pasukan penyelamat, 7.20 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, empat pelajar perempuan berusia 14 hingga 18 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun dari Melaka itu mendaftar untuk mendaki gunung berkenaan, 9.20 pagi.

"Bagaimanapun, ketika menuruni gunung, mereka mendakwa tersasar dari laluan asal dan tersesat. Mereka menghubungi renjer Jabatan Perhutanan kira-kira 1 petang meminta bantuan sebelum pihak terbabit melaporkan kepada polis dan bomba.

"Kita (bomba) menerima panggilan 4.36 petang sebelum 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau ke lokasi bagi usaha mencari dan menyelamat mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat itu turut membabitkan 31 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis berdasarkan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) diberikan mangsa.

"Pasukan penyelamat menemui semua mangsa di Fajar Harapan iaitu berhampiran kaki gunung, pada 7.20 malam sebelum dibawa keluar. Operasi menyelamat memakan masa kerana mereka bergerak mencari jalan keluar sementara menunggu ketibaan pasukan," katanya.

Tambahnya, mangsa yang ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dibawa JPAM untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 10:28 PM