ZAKARIA (tengah) menyampaikan sumbangan kampit beras. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menyerahkan 71,803 kampit beras fidyah kepada 95 masjid di 12 daerah di negeri ini untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman berkata, beras itu diserahkan kepada imam masjid untuk diagihkan segera kepada mereka yang layak.

Beliau berkata, pihaknya menerima pertambahan 20,000 kampit beras lagi menjadikan jumlahnya lebih 70,000 kampit berbanding hanya 50,000 kampit pada tahun lalu.

"Ini berikutan golongan asnaf meningkat dan setiap penerima akan mendapat kampit beras bergantung pada jumlah keluarga dan hasil maklumat yang diperolehi imam.

"Imam mempunyai peranan penting untuk mengesan lebih ramai golongan asnaf yang memerlukan di kawasan masing-masing dan mengumpul maklumat berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak kami untuk memperolehi sumbangan seperti ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Beras Fidyah 2017 di Menara Zakat Kedah, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 1:39 PM