AFP

Berlin: Thomas Mueller (gambar kanan) menganggap kegagalan Bayern Munich menggunakan peluang sebagai “memalukan” selepas seri 0-0 dengan Bayer Leverkusen yang beraksi 10 pemain tidak menceriakan menjelang pertembungan genting Liga Juara-Juara di Real Madrid, awal pagi Rabu ini.

Bayern perlu bangkit di Bernabeu sesudah tewas 1-2 pada suku akhir pertama di Munich apabila Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk meraih 100 gol di peringkat kelab Eropah.

Seperti yang mereka lakukan menentang Real, Bayern amat terdesak kerana kehilangan penjaring terbanyak Robert Lewandowski, yang digantung perlawanan kelmarin dan terlepas aksi kekalahan kepada Madrid kerana kecederaan bahu.

“Kami bertindak balas dengan baik selepas aksi Rabu lalu dan sikap adalah bagus, tapi peluang yang kami lepaskan amat memalukan,” ujar Mueller, pengganti Lewandowski sebagai penyerang menentang Real dan Leverkusen, yang gagal menyumbat sebarang gol dalam kedua-dua perlawanan itu.

“Cara kami gagal di depan pintu gol lawan tidak akan membolehkan anda memenangi perlawanan Bundesliga.

“Kami berang dengan diri sendiri kerana tidak menang dan saya kecewa tidak menjaringkan sebarang gol.”

Jurulatih Bayern, Carlo Ancelotti melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama menentang Leverkusen, yang mana Tin Jedvaj dibuang padang bagi 30 minit terakhir kerana kad kuning kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 11:39 AM