Keratan laporan portal berita Harian Metro pada 12 April
Rohaida Omar
am@hmetro.com.my


Kuala Krai: Suspek lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun dan bunuh warga emas di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada, Kuala Krai, Rabu lalu, sudah ditahan.

Suspek berusia 41 tahun yang juga bekas tentera ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Krai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj, berkata ketika ditangkap, polis turut menemui cincin emas dipercayai milik mangsa.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, kes ini dianggap selesai dan kita akan mendapatkan perintah tahanan reman, esok, di Mahkamah Kuala Krai.

"Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan", katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.

Pada 12 April lalu, Harian Metro melaporkan seorang wanita warga emas, Rokiah Mamat, 61, ditemui maut oleh anaknya di ruang dapur rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning dipetik berkata, kejadian itu disedari anak lelaki mangsa yang baru pulang mengajar dari sebuah sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 12:07 AM