PEMAIN import PKNP FC Gilverto Valdenesio (kiri) menanduk bola sambil dihalang pemain PDRM.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: PKNP FC mencatat sejarah tersendiri apabila menempah tiket bersaing dalam kancah Piala Malaysia sekali gus menjadikannya kelab pertama Perak layak menyertai kejohanan berprestij itu.

Kejayaan itu diperoleh selepas menewaskan PDRM 2-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Perak, malam kelmarin sekali gus melonjakakan pasukan itu ke tangga kedua di belakang pendahulu liga, Negeri Sembilan serta Terengganu, ketiga dengan ketiga-tiganya layak ke Piala Malaysia.

Ketua jurulatih PKNP Abu Bakar Fadzim berkata, pencapaian membanggakan itu berkat usaha semua pemain.

“Paling bermakna, kami menjadi kelab pertama Perak bermain dalam Piala Malaysia.

“Saya rasa pemain memberikan segala-galanya kerana kami berada dalam keadaan tertekan lantaran beberapa pasukan lain bermain lebih awal dengan keputusan perlawanan itu sudah diketahui,” katanya pada sidang media malam kelmarin.

Abu Bakar berkata, pihaknya juga gembira kerana berupaya memintas Terengganu untuk tangga kedua, namun berharap pemainnya tidak cepat puas hati dengan kedudukan semasa.

“Ini kerana pusingan kedua Liga Perdana dan saingan Piala Malaysia pasti berbeza serta lebih mencabar.

“Kami akan teruskan latihan dan berusaha kekalkan kedudukan kerana bagi saya untuk berada dalam kelompok tiga teratas liga lebih mudah daripada mengekalkannya,” katanya.

Dalam perlawanan kelmarin, PKNP FC memperoleh gol menerusi jaringan sendiri pemain PDRM Muhamad Eskandar Ismail pada minit ke-24. PDRM merapatkan kedudukan pada minit ke-82 melalui tandukan ketua pasukan Muhammad Safuwan.

Bagaimanapun PKNP memperoleh gol kemenangan melalui ketua pasukan Muhammad Shahrel Fikri pada minit ke-86 bagi membolehkan mereka meraih tiket ke saingan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 4:47 AM