Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Isu tunggakan gaji 12 pemain Perlis selama lima bulan musim lalu selesai apabila kesemua pemain terbabit bersetuju dengan jumlah bayaran yang ditawarkan oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Menerusi satu pertemuan yang diatur oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, pihak pemain yang diwakili oleh kapten Khairie Zainuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (FAM) Izham Ismail bersetuju dengan jumlah bayaran yang enggan didedahkan.

Menurut Presiden PFA Datuk Rozabil Abd Rahman, pihaknya akan membayar baki tunggakkan gaji dalam masa terdekat ini.

"Kami akan menyelesaikan bayaran itu secepat mungkin. Kami tidak mempunyai dana cuma guna duit poket sendiri," katanya pada sidang media.

Sebelum ini, 12 pemain Perlis mengadakan sidang media menerusi saluran PFAM dengan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap persatuan negeri itu yang enggan mengendahkan tuntutan tunggakan gaji bermula Jun hingga November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 2:15 PM