PESTA Berlian sepanjang April rai kelahiran batu permata paling berharga.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Jenama barang kemas tempatan, Habib Jewels Sdn Bhd (Habib) meraikan berlian dengan menganjurkan Pesta Berlian sepanjang April sempena bulan kelahiran batu itu di semua bilik pamerannya di seluruh negara.

Acara tahunan yang ke-18 dianjurkan syarikat terbabit adalah cara jenama itu berkongsi keindahan berlian dan kempen kali ini sebagai penghargaan kepada keunikan setiap individu.

Pengarah Urusan Habib serta peneraju Pesta Berlian, Datuk Seri Meer Habib berkata, tema kempen tahun ini iaitu Unik Ibarat Bintang ialah simbolik di sebalik perbezaan dan personaliti tersendiri dimiliki setiap orang yang menjadikan setiap satunya unik.

Lantas jenama itu ingin meraikan keunikan ini dan inilah masa paling sesuai kerana kempen terbabit menampilkan batu permata paling berharga, berlian yang setiap satunya unik dan mempunyai ciri tersendiri.

“Semua berlian kami dipotong dengan ketepatan dan keperincian yang tinggi untuk memberikan kilauan ibarat bintang.

“Malah, kami bukan sekadar meraikan, tetapi pelanggan yang membeli turut diberikan pengetahuan mengenai berlian dan setiap elemen pada rekaan berkenaan.

“Negara kita penuh budaya, justeru, saya mahu menerapkan ia dalam setiap koleksi agar keunikannya dapat dilihat berbeza dari negara lain.

“Selain itu, ramai yang menganggap harga berlian terlalu mahal, tetapi disebabkan kami pengeluar, jadi kami dapat mengawal harganya,” katanya pada pelancaran Pesta Berlian Habib 2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, suatu ketika dulu, emas putih menjadi pilihan, tetapi kali ini Habib mengikut peredaran terkini dengan menawarkan emas ros.

“Warnanya yang kaya dan memikat, halus, lembut dan matang dilihat sesuai digayakan setiap peringkat usia. Ditambah pula dengan hiasan berlian, menjadikan ia kelihatan begitu mewah dan elegan apabila memakainya.

“Kami menawarkan koleksi kegemaran iaitu berlian direka khas untuk barangan kemas emas ros yang ringkas dengan harga berpatutan,” katanya.

Memilih rekaan unik, Habib juga tampil dengan koleksi Arowana inspirasi daripada sisik ikan berkilauan yang amat tinggi nilainya. Ia boleh didapati dalam emas putih, merah dan kuning bertatahkan berlian.

Di samping itu, Evo satu lagi koleksi baru yang menarik untuk Pesta Berlian tahun ini, terdiri daripada cincin dan gelang tangan bertatahkan berlian dengan bentuk unik, menjadikannya tampak moden dan futuristik.

Untuk jejaka pula, koleksi cincin berlian lelaki dalam sarung perak palladium pasti menambah gaya.

Hearts On Fire, jenama antarabangsa yang dibawa khas oleh Habib, mempamerkan koleksi Triplicity terbaru yang diilhamkan oleh Pengarah Bahagian Rekaan, Ilaria Lanzoni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 10:25 AM