EDISI kedua KLICFest hiburkan penonton 3 hari berturut-turut mulai 21 April.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kejayaan Festival Komedi Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Comedy Festival) atau KLICFest dua tahun lalu membawa kepada penganjuran edisi kedua program itu yang bakal berlangsung pada 21 sehingga 23 April di Black Box, Publika.

Program yang dianjurkan oleh stand-up komedi bertaraf antarabangsa Harith Iskander menerusi syarikatnya, Harith Iskander V Day Productions bukan saja festival komedi terbaik di Kuala Lumpur malah dianggap terbaik di Asia.

Masakan tidak, KLICFest menampilkan barisan pelawak terbaik dari seluruh dunia untuk menghiburkan penonton sepanjang tiga hari berturut-turut.

Menurut Harith, program ini bertujuan membawa rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama bergelak tawa sambil berhibur.

“Tahun ini, kami bersedia untuk meraikan komedi dengan bergaya, berkat beberapa bakat yang bertenaga dan jadual persembahan disusun khas supaya penonton tergolek-golek bergelak di tempat duduk mereka.

“Orang putih pernah berkata ketawa ubat yang terbaik melainkan kalau betul-betul sakit. Itu kena jumpa doktor.

“Sepanjang tiga hari ini kami menampilkan persembahan daripada penghibur terbaik Malaysia, bintang ternama antarabangsa dan seorang legenda tempatan yang mampu berjenaka dalam bahasa Inggeris serta bahasa Malaysia.

“Jadi, jika anda sedang mencari pengubat luka di hati melalui komedi, Black Box dan The Bee di Publika akan menjadi tempat terbaik untuk mendapatkan dos gelak tanpa henti anda,” katanya.

Untuk memulakan temasya gelak tawa ini, KLICFest akan membuka tirai dengan acara Malam Gala Harith Iskander’s To Know Malaysia, Is To Laugh Malaysia III pada 18 April di Black Box, Publika.

Pada acara itu, KLICFest menampilkan persembahan daripada guru komedi antarabangsa seperti Harith Iskander, Paul Ogata (Amerika Syarikat), Prince Abdi (Somalia), Katerina Vrana (Greece) dan Christopher Daley (Jamaica).

KLICFest 2017 diteruskan pada 21 sehingga 23 April dengan persembahan seperti Harith Iskander’s Making S#it Up, Stendap Komedi 1, Afdlin Shauki’s Standing Up Singing Vol 3, Fakkah Fuzz’s Get the Fuzz, The Angry Indians, Nabil Ahmad MeleSTOP! dan banyak lagi.

Acara ini turut menawarkan pas harian yang melayakkan anda mendapatkan enam pas pertunjukan sehari termasuk dua pertunjukan tambahan pada 21 April dengan harga RM158.

Menariknya juga, KLICFest 2017 turut menyediakan sesi aktiviti kanak-kanak secara percuma anjuran Erika Perez Sports Academy semasa anda menikmati gelak ketawa pada Ahad, 23 April.

Selaras usaha Harith yang berterusan dalam memotivasikan orang ramai, terutama pelajar untuk memupuk semangat positif dan memberi inspirasi kejayaan dalam hidup melalui gelak ketawa, festival ini akan mengandungi ceramah motivasi oleh Harith sendiri.

Ceramah itu akan diadakan pada 23 April jam 5 petang di The Bee, Publika. Tiket berharga RM45 untuk dewasa dan RM35 untuk pelajar.

Untuk maklumat lanjut dan butiran tiket festival, lawati Harithiskander.peatixs.com, laman rasmi Facebook KLICFest 2017 atau WhatsApp ke 011-28020559.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 9:59 AM