KHOR (tiga dari kiri) bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn Bhd Mohd Salem Kailany sambil disaksikan Abdul Wahid (tiga dari kanan).
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: SP Setia Bhd (SP Setia) optimis mencatatkan RM18 bilion nilai modal pasaran sebelum 2021 berbanding sasaran awal bersandarkan kepada aktiviti pengambilalihan syarikat hartanah berpotensi dan pemilikan bank tanah secara berterusan di Malaysia dan luar negara.

Setakat ini, SP Setia mempunyai RM10 bilion nilai modal pasaran, pemilikan bank tanah sekitar 2,023 hektar di pasaran negara dan mencatatkan perolehan RM4 bilion setahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Khor Chap Jen berkata, ketika ini, pihaknya berhasrat mengambil alih pegangan di dalam I&P Group Sdn Bhd (I&P Group) yang mempunyai 1,725.175 hektar bank tanah di Lembah Klang dan Johor Bahru, sekali gus menjadikan SP Setia sebagai tiga syarikat pemaju terbesar di Lembah Klang.

Beliau berkata, sekiranya pengambilalihan itu berjaya dimuktamadkan, SP Setia mampu mempunyai bank tanah seluas 4,046.856 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM122 bilion dan bakal menambah RM1 bilion kepada perolehan tahunannya.

“Harga cadangan untuk pengambilalihan I&P Group dalam kadar antara RM3.5 bilion hingga RM3.75 bilion. Namun, harga pembelian akhir dimuktamadkan selepas audit nilai aset (NAV) syarikat berkenaan dibuat yang mana setakat 31 Disember 2016, ia merekodkan RM3.16 bilion.

“Selain itu, nilai harga pasaran semasa bank tanah, projek dibangunkan dan pelaburan hartanah yang dilaksanakan I&P Group akan dinilai penilai hartanah dilantik SP Setia. Dana pengambilalihan pula akan disumbangkan menerusi gabungan ekuiti, dana dalaman dan pembiayaan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum untuk membolehkan rundingan pengambilalihan I&P Group dilakukan, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

I&P Group Sdn Bhd dimiliki Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mana pada Mei 2009 syarikat itu menggabungkan tiga syarikat pemaju hartanah iaitu Island & Peninsular Sdn Bhd, Petaling Garden Sdn Bhd dan Pelangi Sdn Bhd di bawah entitinya menerusi aktiviti pergabungan dan pengambilalihan.

Dalam majlis sama, SP Setia mengumumkan pengambilalihan bank tanah baru seluas 138.6 hektar di Bangi daripada Seriemas Development Sdn Bhd (Seriemas Development) yang juga anak syarikat PNB.

Pengambilalihan bank tanah itu yang dikenali sebagai Bangi Land dilaksanakan SP Setia menerusi anak syarikatnya, KL East Sdn Bhd dengan nilai pembelian sekitar RM447.58 juta atau RM30 kaki persegi.

Bangi Land bakal mewujudkan projek perbandaran termasuk komponen kediaman dan komersial mempunyai GDV sekitar RM2.74 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 5:17 AM