BERNAMA

Butterworth: Tiga lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM60,000 daripada sebuah kedai emas di Taman Chai Leng, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, suspek yang menunggang dua motosikal meluru masuk ke dalam premis itu, jam 11.45 pagi.

“Seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah pekerja dan mengarahkan mereka berdiam diri manakala dua lagi memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi dan mengambil barang kemas dalam lima dulang sebelum melarikan diri,” katanya.

Kedai emas itu tidak mempunyai CCTV dan pengawal keselamatan.

Dua motosikal jenis Honda Ex-5 yang dipercayai digunakan tiga lelaki terbabit kemudiannya ditemui di Taman Kimsar, kira-kira tiga kilometer dari kedai emas itu pada pukul 1.30 tengah hari, katanya.

Motosikal itu dilapor dicuri baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 7:22 PM