Aidid (dua dari kiri) bersama pegawai memeriksa rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Marang. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu merampas 15,000 karton atau tiga juta batang rokok putih dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM2.06 juta dalam dua serbuan berasingan di Kuala Nerus dan Marang, awal pagi tadi.

Pengarah JKDM Terengganu Aidid Tajuddin berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus jam 1 pagi, pihaknya merampas sebanyak 660,000 batang rokok putih jenama John White dan John F1 dianggarkan bernilai RM455,740.

"Rampasan dibuat selepas kita menahan dan memeriksa sebuah van jenis Toyota Hiace di Jalan Kelantan, Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus.

"Pemandu van terbabit berusia 53 tahun ditahan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua, pihaknya merampas sebanyak 11,700 karton atau 2.34 juta batang rokok putih dengan nilai rampasan RM1.495,260 yang dimuat dalam sebuah lori di Kampung Merchang, jam 3 petang semalam.

"Rampasan ini adalah yang terbesar dilakukan pada tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 6:06 PM