ABU Bakar Idris menerusi Pada Harum Khasiatnya.
ANGIN Malam No. 5 hasil karya Suzlee Ibrahim.
ANNASSUWANDI Ahmad menerusi karya Akhir Denai #1.
HASIL karya Nouri, antara kanak-kanak autisme daripada Akademi INSANI yang turut dipamerkan.
PENGARAH Akademi INSANI Mohd Fakhri Affandi (kiri) dan Farez bersama sebahagian lukisan yang dipamerkan sempena pameran Amal Insani.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah kesukaran dihadapi dengan penuh tabah oleh ibu bapa yang memiliki anak autisme.

Meskipun kesedaran mengenai penyakit autisme sudah lama wujud, negara masih kekurangan maklumat dan pusat untuk dijadikan rujukan masyarakat.

Bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia bulan ini, pameran Amal Insani memberi peluang kepada masyarakat untuk memberi sokongan terhadap anak autistik.

Pameran yang berlangsung di Balai Seni Visual Negara (BSVN) ini adalah hasil kerjasama antara Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (INSANI) dengan Pertubuhan Komuniti Artport Malaysia (Komuniti Artport).

Sebanyak 47 karya dihasilkan oleh 35 pengkarya membawa pelbagai tema dipamerkan untuk mengumpulkan dana bagi keperluan tajaan dan pendidikan anak autisme dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Arikwibowo Amril menerusi medium cat minyak di atas linen menyampaikan sentuhan seninya bertajuk Beri Laluan. Begitu juga rakan seperjuangannya, Fawwaz Sukri dengan karya berjudul Angel.

Medium lain seperti bitumen, seni, akrilik atas kanvas, akrilik atas jut, dakwat, pensel dan lorekan cermin.

Setiap artis melahirkan pandangan dan tema sendiri menurut kesesuaian bagi memeriahkan pengumpulan dana untuk anak autistik INSANI.

Pengarah Program Komuniti Artport, M Farez Abd Karim berkata, pameran seni Amal Insani ibarat jambatan yang menghubungkan seniman dan khalayak, seni dan masyarakat serta mendekatkan dermawan kepada mereka yang malu meminta-minta namun punyai azam yang kuat untuk mendidik anak autistik.

“Pameran ini bertujuan mengutip dana untuk INSANI yang disertai seniman tempatan terdiri daripada pelukis dan pengarca.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan buku katalog Amal Insani yang memuatkan karya cerpen, sajak dan karya lukisan serta arca. Ia dijual pada harga RM35 dan boleh didapati di Komuniti Artport atau INSANI sendiri,” katanya.

INFO

• Artis: Berkumpulan (35 orang)

• Jumlah karya: 47

• Lokasi: Balai Seni Visual Negara (BSVN), No. 2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

• Tarikh: Sehingga 25 Mei 2017

• Masa: 8 pagi hingga 6 petang

• Telefon: 012-2474970 (Adziim)

• Web: www.artgallery.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 12:24 PM