Adam Rosly hadir memberi keterangan kali kedua untuk membantu siasatan SPRM. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hayati Ibrahim dan Siti A'isyah Sukaimi
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Penahanan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Azam berkata, Adam ditahan jam 2.30 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

"Beliau disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Saya juga tidak menolak kemungkinan, Adam mungkin akan ditahan reman di Mahkamah Putrajaya, esok," katanya.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin turut terbabit dalam siasatan, Azam enggan memberi komen berhubung perkara itu kerana siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, Adam tiba di Ibu Pejabat SPRM hari ini dan beliau dilihat memakai baju batik warna jingga seterusnya memasuki bangunan SPRM untuk memberikan keterangan.

Pada 10 Februari lalu, Adam hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan mengenai laporan dibuat terhadap kekayaan luar biasa dimilikinya pada usia muda.

Laporan kepada SPRM dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo yang menggesa siasatan dilakukan terhadap kekayaan luar biasa Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 7:30 PM