MKHITARYAN (kiri) sasar Piala Liga Europa.
AFP

Paris: Henrikh Mkhitaryan menyatakan Manchester United tidak boleh memandang remeh cabaran pendahulu liga Belgium, Anderlecht ketika pasukan kendalian Jose Mourinho berusaha untuk menyertai kelompok elit kelab Eropah.

United bertandang ke Brussels awal pagi esok bagi suku akhir pertama Liga Europa ketika pertandingan itu memberikan peluang terbaik kelab gergasi Inggeris itu untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

Tiga kali juara Eropah dan juara Piala Pemenang Piala pada 1991, United memburu kejuaraan Liga Europa buat kali pertama yang akan menyaksikan mereka muncul hanya pasukan kelima selepas Ajax, Bayern Munich, Chelsea dan Juventus untuk memenangi semua tiga trofi utama UEFA.

“Ia satu daripada sasaran saya musim ini untuk memenangi Liga Europa,” ujar Mkhitaryan, yang layak ke peringkat sama pertandingan itu bersama Borussia Dortmund setahun lalu.

“Saya sedar ia tidak mudah, terutamanya di peringkat ini kerana tiada lawan yang senang.”

Pemain kebangsaan Armenia itu meledak satu gol ketika menang 3-0 ke atas Sunderland dalam Liga Perdana Ahad lalu, namun United berdepan tugas getir untuk mengejar Manchester City atau Liverpool dalam pemburuan empat tangga teratas.

Red Devils membelasah Anderlecht 10-0 pada Piala Eropah 1956, ia kekal kekalahan terbesar kelab Belgium itu di Eropah dan kemenangan terbesar United, namun kalab Belgium itu sudah menang lima daripada enam aksi Eropah di laman sendiri.

“Sudah tentu kami faham kepentingan aksi menentang Anderlecht pada suku akhir,” kata Mkhitaryan.

“Kami sedar kami berdepan dua perlawanan yang amat sukar dan Anderlecht bukannya lawan mudah.” -

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 9:29 AM