Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di dada di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mayat mangsa warga Indonesia itu ditemui di bahu jalan menuju kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini.

Mayat mangsa yang berseluar pendek dan berkemeja itu ditemui orang awam sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan, polis menemui dua kesan luka di tangan dan dada kiri mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, unit forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 11:33 AM