ARJEN Robben (tengah) bersama rakan sepasukan giat menjalani latihan. FOTO AP
AFP

Munich: Bayern Munich menanti kunjungan Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara yang dinanti-nantikan bagi suku akhir pertama awal pagi esok dengan kelab Bavaria kendalian Carlo Ancelotti kelihatan sekali lagi menjadi ‘kebencian’ kelab Sepanyol itu.

Apatah lagi plot sampingan bagi pertembungan di Arena Allianz itu amat menarik.

Bos Bayern, Ancelotti mengemudi Real menjuarai Liga Juara-Juara 2014 dan kini bertembung dengan bekas penolongnya ketika kejayaan itu, ketua jurulatih semasa Madrid, Zinedine Zidane.

Pemenang Piala Dunia 2010 Xabi Alonso, yang turut memenangi Liga Juara-Juara 2014 sebelum menyertai Bayern, akan berdepan bekas kelabnya buat kali terakhir sebelum bersara Jun ini.

Pemain tengah Real dari Jerman, Toni Kroos seorang lagi yang akan menentang bekas majikannya.

Ancelotti menyatakan “perkara kecil akan menjadi perbezaan” antara skuad dipenuhi bintang itu yang akan menyaksikan dua pasukan dengan keupayaan menjaringkan banyak gol bertembung sesama sendiri.

Penjaring terbanyak Bayern, Robert Lewandowski, dengan 38 gol dalam semua pertandingan musim ini, bertembung dengan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dengan 26 gol dalam 36 perlawanan.

l Ia mungkin agak sederhana bagi standardnya, namun Ronaldo pernah merobek Bayern sebelum ini dengan empat gol dalam empat perlawanan dan kelab Bavaria itu pasti bimbang, terutama dengan bantuan bintang Wales, Gareth Bale serta penyerang Perancis, Karim Benzema.

Lewandowski mengalami lebam di bahu ketika menjaringkan dua gol ketika membenam Borussia Dortmund 4-1 Sabtu lalu, namun dijangka cergas “100 peratus.”

Bayern memegang rekod Liga Juara-Juara dengan 16 kemenangan berturut-turut Eropah di Arena Allianz dan itulah rekod yang mahu dipertahankan pemain sayap Belanda, Arjen Robben.

“Kami perlu bermain pantas, kami perlu memberi petanda (kepada Real) sejak minit pertama lagi tiada apa boleh diambil di Munich dan kami mahu memenangi perlawanan ini,” katanya.

Bayern juga mahu pulih daripada gelaran ‘bete noire’, diberikan kepada mereka oleh penyokong Real selepas Munich menang lapan daripada 14 perlawanan menentang Real antara 2000 dan 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 8:18 AM