SEBAHAGIAN pemain BSN Melaka bergambar kenangan sebelum kejohanan.

Melaka: Lapan pasukan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Keselamatan Polis Bantuan Negeri (KKN) Bank Simpanan Nasional di Jalan Munsyi Abdullah, di sini, baru-baru ini.

Kejohanan itu turut disertai pasukan dari Zon Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin yang menjadi antara pentas pemilihan pemain terbaik mewakili Polis Bantuan BSN ke kejohanan peringkat kebangsaan 2015.

Pengelola kejohanan Rozlan Sudin berkata, dalam saingan itu menyaksikan Daerah Alor Gajah muncul juara diikuti Bahagian Pentadbiran (naib juara) dan tempat ketiga milik Zon Melaka Tengah.

Katanya, hadiah kepada pemenang disampaikan Asisten Superintendan Sukor Hashim yang juga KKN negeri kepada semua pasukan termasuk pemain terbaik kejohanan Jefry Isnin yang juga pelibas utama pasukan Unit Khas BSN Melaka.

“Panel pemilihan pemain dikendalikan jurulatih sepak takaw Melaka Abu Basrah Ahmad yang turut berusaha mengenal pasti pemain berkualiti untuk mewakili Melaka pada kejohanan peringkat kebangsaan.

“Ramai pemain berbakat berjaya dicungkil untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk kakitangan baru dan beberapa pemain veteran yang masih berbisa,” katanya.

Rozlan berkata, pada saingan peringkat kebangsaan, Melaka menyasarkan mara ke final kejohanan sambil mengintai peluang untuk menjuarai saingan.

Katanya, semua pemain terpilih akan menjalani latihan di bawah kendalian Abu Basrah dalam memastikan impian pasukan mampu menjadi kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:04 AM