Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO arkib NSTP
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: PAS Pusat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar bahasa Cina, Nanyang Siang Pau, berikutan tindakan menyiarkan karikatur menghina dan menyentuh sensitiviti agama Islam.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius tindakan akhbar itu yang sengaja menyiarkan karikatur menghina Presiden PAS dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"PAS tidak boleh berkompromi dalam perkara seumpama ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Untuk itu, PAS sudah melantik peguam dan mengarahkan agar tindakan undang-undang diambil dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, PAS menganggap penyiaran terbabit bukan saja bertujuan menghina Presiden PAS dan Yang Dipertua Dewan Rakyat malah semua umat Islam serta undang-undang Islam.

Katanya, dalam hal itu PAS menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit penerbitan akhbar berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 6:17 PM