Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Tempoh reman ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang ditahan kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan geotube (penggalian) disambung dua hari lagi bermula esok.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Turut disambung reman anak lelaki Tan Sri itu selain seorang pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan seorang pesara JPS.

Bagaimanapun, dua pegawai JPS yang disiasat berhubung kes sama dibebaskan dari tahanan reman hari ini.

Tan Sri berkenaan bersama lima yang lain ditahan reman selama enam hari sebelum ini bagi membantu siasatan.

Difahamkan, tuntutan palsu itu dilakukan di bawah kerja pemulihan sungai menggunakan kaedah penggalian JPS di Sungai Melaka sejak 2012.

Mereka dipercayai mengemukakan invois pembayaran berjumlah hampir RM13 juta bagi membekalkan 358 unit geotube.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:18 PM
Suspek disambung direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan invois palsu berhubung kerja pengindahan Sungai Melaka. FOTO Mohd Fadli Hamzah