Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwan@hmetro.com.my.

Ila Damiaa kini hadir dengan buah tangan baru, Cuma Kamu yang sangat menghiburkan dan pasti membuatkan setiap pendengar tersenyum sendirian.

Nadanya tidak terlalu berat, namun mampu ‘menekan’ jiwa kerana melodi dari Indonesia ciptaan Sindhu Bharata ini ada kekuatan yang tidak dapat didengar dalam lagu Ila yang terdahulu.

Mana tidaknya. Nama Sindhu sememangnya cukup popular dalam kalangan penyanyi popular Indonesia seperti Raisa, Afgan dan Vidi Aldiano.

Lagunya memang tidak pernah mengecewakan dalam mencuri hati pendengar. Tentunya, Cuma Kamu mampu menjadi penanda aras Ila sendiri.

Vokal Ila juga kedengaran sangat serasi dengan lagu ini. Tidak terlalu mencuba, semuanya bergerak seiring, penuh kegembiraan berharmoni dengan baik.

Liriknya juga sangat manis. Secara kasarnya, Cuma Kamu berkisar mengenai pasangan bercinta yang saling memerlukan antara satu sama lain dan ingin terus hidup bersama.

Tentunya, lagu cinta yang ‘manis’ sebegini mampu menarik minat pendengar muda hangat bercinta, begitu juga mereka yang sudah bertahun-tahun menjalin cinta.

Bagi Ila sendiri, jalan cerita dalam Cuma Kamu juga dikaitkan dengan dirinya yang baru bergelar isteri.

“Lagu ini juga sesuai dengan kisah saya dan kehidupan selepas berkahwin. Saya cuba kongsikan pengalaman itu menerusi lagu ini dengan pendengar.

“Pertama kali diperdengarkan lagu ini dan melihat sendiri liriknya, saya tersenyum sendiri dan terbayang perasaan sendiri secara peribadi,” katanya.

Cuma Kamu dirakamkan di Indonesia pada Ogos tahun lalu dan sedikit sebanyak ada pengalaman baru yang diterima Ila sepanjang tempoh rakaman berlangsung.

“Ada beberapa perbezaan yang saya sendiri alami sepanjang menjalani rakaman di Jakarta. Ini peluang untuk saya belajar bekerja dengan komposer dan penerbit luar, sekali gus melihat budaya serta muzik di luar zon selesa saya,” katanya.

Cuma Kamu sudah mula dilancarkan di iTunes dan semua platform serta aplikasi ‘streaming’ muzik bermula 31 Mac lalu.

INFO

• LAGU: Cuma Kamu

• PENYANYI: Ila Damiaa

• LAGU & LIRIK: Sindhu Bharata

• PENERBIT: Ari Aru Renaldi

• TERBITAN: Kartel Industries Sdn Bhd

• EDARAN: Sony Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:52 AM