Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Meskipun menamatkan saingan Grand Prix Argentina di kedudukan ke-10 awal pagi semalam, penunggang PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin (gambar) Abdullah percaya dia mampu meraih keputusan lebih baik.

Jelas pelumba Moto2 negara yang memulakan perlumbaan di petak ke-14, dia bermula dengan baik dan kemudian cuba untuk bersaing dengan kelompok depan pada saingan di Litar Termas de Rio Hondo itu.

“Saya cuba untuk memecut lebih laju tapi catatan masa yang dilakukan sama kerana saya perlu bekerja keras untuk mengawal jentera.

“Berada di belakang pelumba yang lebih perlahan di depan saya juga tidak banyak membantu.

“Kami akan terus bekerja keras dan harap dapat meraih keputusan lebih baik pada pusingan seterusnya di Austin,” katanya.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu meraih enam mata berharga sekali gus menebus kekecewaan gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan pertama di Qatar dua minggu lalu kerana terjatuh seawal pusingan pertama.

Koordinator pasukan Razmin Masli Abdul Razak berkata, meskipun gagal menyamai atau memperbaiki penamat keenam tahun lalu, ia masih lagi keputusan yang positif.

“Kami perlu bekerja keras selepas ini dan menganalisis data untuk memperoleh permulaan yang baik di Austin,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam kategori sama Khairul Idham Pawi yang beraksi dengan Idemitsu Honda Team Asia sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-24 selepas bermula di petak ke-28.

Dalam saingan Moto3 pula, Adam Norrodin dari SIC Racing Team menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-17 selepas bermula di petak ke-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 10:42 AM