TENTERA Thailand berkawal di sebuah pencawang elektrik yang dibom kumpulan pemisah di daerah Bachoc, Narathiwat pada Jumaat lalu. - AFP
AFP

Bangkok: Kumpulan pemisah paling berpengaruh di selatan Thailand menolak pelan damai yang dirancang tentera sekali gus menjejaskan usaha Bangkok dalam membuka rundingan damai dengan watak utama konflik di wilayah itu.

Barisan Revolusi Nasional (BRN) dipercayai terbabit dalam banyak serangan di selatan Thailand walaupun tidak pernah mengaku bertanggungjawab dan sangat jarang membuat kenyataan di media.

Bagaimanapun, kumpulan itu semalam mengeluarkan satu kenyataan menolak pelan damai yang diusahakan junta tentera.

BRN mahu rundingan damai itu perlu pembabitan pihak ketiga iaitu komuniti antarabangsa sebagai saksi dan pemerhati.

Kumpulan itu juga mahu pihak yang tidak memihak kepada sesiapa menjadi orang tengah bukannya tentera Thailand itu sendiri.

Pada Februari lalu, tentera Thailand dan satu lagi kumpulan pemisah yang mengadakan rundingan bersetuju mewujudkan zon selamat di wilayah berkenaan.

Tentera yang merampas kuasa pada 2014 mendakwa perjanjian itu adalah bukti proses rundingan damai itu menunjukkan kemajuan.

Bagaimanapun, penganalisis sudah lama berpendapat, satu-satunya kumpulan yang Bangkok bersetuju untuk berbincang, Mara Patani kurang berpengaruh terhadap pejuang pemisah.

Tentera Thailand menegaskan bahawa ancaman pemberontakan di wilayah itu adalah isu dalaman dan menolak sebarang campur tangan luar.

Rundingan dengan Mara Petani berlangsung beberapa kali di Kuala Lumpur dan pernah tertangguh selama beberapa tahun.

Namun, keganasan termasuk serangan bom dan pembunuhan di selatan Thailand terus berlaku.

Keganasan yang memuncak sejak 2004 sudah meragut lebih 6,800 nyawa yang majoritinya orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 7:39 AM