Faizan Adli dijatuhi hukuman penjara 46 tahun dan tujuh sebatan atas kesalahan melakukan enam rompakan bersenjata sekitar Kota Bharu, Bachok dan Kuala Krai. FOTO Zaman Huri Isa
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Kota Bharu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 46 tahun dan tujuh sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, terhadap enam pertuduhan melakukan samun dengan senjata di empat daerah antara Disember tahun lalu hingga Januari.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Faizan Adli Bukhari, 37, yang berasal dari Ketereh, di sini, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Untuk pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, manakala pertuduhan dua hingga tiga, masing-masing dikenakan penjara tujuh tahun.

Bagi pertuduhan keempat, Faizan Adli dikenakan hukuman penjara sembilan tahun, satu sebatan kerana merompak kedai runcit di Kota Bharu dan penjara lima tahun untuk kesalahan memiliki parang.

Untuk dua kesalahan itu, mahkamah membenarkan hukuman berjalan serentak.

Sementara bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia dijatuhi hukuman masing-masing penjara lapan tahun dan dua sebatan.

Semua hukuman diputuskan kerana kesalahan melakukan samun ke atas lima kedai runcit dan serbaneka serta sebuah stesen minyak antara 23 Disember 2016 hingga 23 Januari 2017 iaitu tiga di Kota Bharu, satu Machang, satu Bachok dan satu di Kuala Krai.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Dia turut menghadapi dakwaan mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya.

Nazri memerintahkan semua hukuman berlangsung secara berturut-turut bermula tarikh ditangkap selepas mengambil kira kesalahan berulang yang dilakukan tertuduh dan kepentingan lain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias dan Norazlinawati Mohd Arshad.

Terdahulu, ketika membela dirinya, tertuduh memohon supaya hukumannya berjalan serentak mengambil kira dia perlu menyara keluarga termasuk mempunyai anak berusia tujuh bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 5:26 PM