PENUMPANG memenuhi ruang legar Lapangan Terbang Sibu. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya
am@hmetro.com.my


Sibu: Seramai 1,313 penumpang terjejas berikutan pembatalan dan penjadualan semula beberapa penerbangan yang mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Sibu, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati ruangan menunggu dan ruang legar lapangan terbang berkenaan dipenuhi penumpang yang masih menunggu maklumat lanjut daripada syarikat penerbangan masing-masing.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu Zainuddin Abu Nasir berkata, 782 orang penumpang yang tiba di lapangan terbang ini manakala 631 penumpang yang berangkat dari Sibu terjejas.

Menurutnya, penerbangan yang dibatalkan adalah dari Malaysia Airlines (MAS) MH2713 Sibu-Kuala Lumpur, MH3690 Kuching-Sibu-Bintulu dan MH3183 Kota Kinabalu-Sibu-Miri.

"Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada syarikat penerbangan masing-masing untuk mengetahui lebih lanjut berhubung jadual penerbangan," katanya.

Lapangan Terbang Sibu kembali beroperasi semula 12 tengah malam tadi selepas lebih 24 jam ditutup berikutan pesawat MH2718 dari Kuala Lumpur terbabas 10.17 malam, Sabtu lalu.

Penutupan itu dibuat bagi membolehkan operasi pengalihan pesawat dan penutupan lubang pada landasan lapangan terbang itu dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 4:46 PM