Mexico City: Isteri bekas datuk bandar Iguala, tempat 43 pelajar kolej hilang September lalu, diarah dipenjarakan kerana tuduhan jenayah terancang.

Maria de los Angeles Pineda sebelum ini ditahan sementara berkait dengan kes yang menggemparkan Mexico itu.

Semua 43 pelajar berkenaan dipercayai mati dibunuh.

Seorang hakim semalam mengeluarkan waran untuk menahan Maria sementara menunggu perbicaraan atas alasan kemungkinan dia terbabit melakukan jenayah terancang dan menjalankan operasi dengan wang yang diperoleh secara haram, kata Tomas Zeron ketua unit siasatan jenayah untuk pejabat pendakwa raya.

Pelajar berkenaan hilang pada 26 September, dipercayai dibunuh secara beramai-ramai oleh kumpulan yang disokong polis.

Pengakuan ketika disoal siasat menunjukkan bekas datuk bandar Jose Luis Abarca mengarahkan polis bertindak terhadap pelajar itu bagi menyekat mereka daripada menunjuk perasaan di satu majlis yang dihadiri isterinya.

Pihak berkuasa berkata, pelajar kolej itu hilang selepas kumpulan yang ada hubungan dengan polis menyerang bas mereka di bandar Iguala, dipercayai selepas menerima arahan datuk bandar itu dan isterinya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:07 AM