Para perwakilan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang hadir. (Gambar kecil) Dari kiri Mohd Nor, Idris dan Khairil Nizam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Cyberjaya: PAS dijangka bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Naib Presidennya Idris Ahmad.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah keseluruhan kerusi Parlimen belum dimuktamadkan sepenuhnya lagi dan bergantung kepada perubahan hasil perbincangan dalam parti kelak.

"Namun, di Wilayah Persekutuan saya dimaklumkan, PAS mensasarkan untuk bertanding di tujuh kerusi Parlimen iaitu Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Setiawangsa dan Lembah Pantai.

"Selain itu, dua kerusi Parlimen lain yang sedang diteliti dan berpotensi adalah Batu dan Segambut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nor Mohamad dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Sementara itu, Idris berkata, PAS mengakui pemimpin DAP, PAN dan PKR dilihat cuba merosakkan pemikiran orang bukan Islam berhubung Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Katanya, semua pemimpin berkenaan tahu RUU 355 hanya terpakai untuk orang Islam, tetapi mereka cuba mempengaruhi orang bukan Islam supaya menentang pindaan berkenaan.

"Mereka cuba memainkan sentimen dengan memberi gambaran tidak betul kepada orang bukan Islam.

Undang-undang ini tidak membabitkan bukan Islam, seperti kewajipan berpuasa pada Ramadan yang hanya membabitkan orang Islam, jika mereka (bukan Islam) makan di tengah hari mereka tidak akan ditahan oleh pejabat agama.

"Tetapi saya yakin orang bukan Islam terbuka mengenai perkara ini, dan memahami susur galur bagaimana (pelaksanaan) RUU 355,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:31 PM