Orang ramai memenuhi pejabat MAB untuk menguruskan penerbangan mereka di Lapangan Terbang Sibu. FOTO Harun Yahya
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Sibu: Empat puluh lapan penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas terjejas berikutan penutupan Lapangan Terbang Sibu sehingga kira-kira 8 malam ini.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir, berkata penerbangan yang terjejas membabitkan destinasi Bintulu, Miri, Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, semua destinasi yang terjejas membabitkan 28 penerbangan MASwings, Air Asia (16) dan Malaysia Arlines (empat) membabitkan 3,787 penumpang.

"Keputusan untuk membatalkan penerbangan ke destinasi berkenaan dibuat syarikat penerbangan terbabit bagi membolehkan operasi pengalihan pesawat tergelincir dapat dijalankan.

"Pengurusan Lapangan Terbang Sibu menjangkakan operasi lapangan terbang ini pulih seperti biasa pada 8 malam ini, sebaik operasi pengalihan pesawat selesai," katanya.

Pesawat MH2718 dari Kuala Lumpur tergelincir ketika mendarat, pada 10.17 malam tadi, berikutan hujan lebat.

Semua 61 penumpang dan enam anak kapal selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 12:59 PM