HAYASHI (dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Honda meraikan pengeluaran ke-600,000.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) meraikan pencapaian bersejarah apabila kilangnya di Pegoh, Melaka mencatatkan pengeluaran unit yang ke-600,000.

Kejayaan itu berganda apabila HMSB turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa bermula 1 April 2016 sehingga 31 Mac lalu, walaupun situasi pasaran cukup mencabar tahun lalu.

Pencapaian itu menandakan suku pertama tahun ini berjaya dan kukuh serta menetapkan penanda aras dalam industri automotif tempatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSB Katsuto Hayashi berkata, pengeluaran ke-600,000 unit itu dicapai dalam tempoh 14 tahun sejak memulakan operasi pemasangan tempatan di kilangnya di Pegoh, Melaka.

“Buat masa sekarang, HMSB mempunyai dua saluran pengeluaran di kilang ini di mana saluran pengeluaran nombor satu memulakan operasi pada 2003, manakala saluran pengeluaran nombor dua dirasmikan pada 2014.

“Penambahan saluran pengeluaran nombor dua membolehkan HMSB berkembang pesat dan mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam masa hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran sama bagi saluran satu sebelum ini,” katanya ketika Majlis Pengeluaran Kenderaan Ke-600,000, baru-baru ini.

Hayashi berkata, pihaknya yakin pencapaian itu diperoleh menerusi strategi dan semangat menyahut cabaran yang kuat dalam kalangan ahli keluarga Honda.

“Dengan kemudahan sedia ada di kilang ini, HMSB memiliki keupayaan tambahan untuk memenuhi tempahan pelanggan dan menghasilkan produk terbaik.

“Hari ini, kedua-dua saluran pengeluaran menghasilkan tujuh model bagi memenuhi keperluan pelanggan berbanding asal apabila hanya empat model dikeluarkan iaitu CR-V, City, Civic dan Accord.

“Pada masa sekarang, model Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, HR-V dan BR-V dipasang di kilang ini,” katanya.

Menurut Hayashi, kilang berkenaan dilengkapi teknologi canggih dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu masa bagi memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, saluran pengeluaran dibina khas dan perancangan strategik membolehkan HMSB memendekkan tempoh menunggu bagi pelanggan terutama apabila menerima tempahan secara mendadak.

“Sebagai contoh, tempoh menunggu untuk model BR-V kini cuma satu hingga dua bulan sahaja, walaupun kami menerima tempahan hampir 10,000 unit iaitu 12 kali sasaran jualan bulanannya.

“Malah secara purata, tempoh menunggu untuk semua model Honda kini adalah sekitar satu hingga dua bulan sahaja,” katanya.

Antara teknologi terkini yang digunakan termasuklah Mesin Kimpalan Pintar Automatik (Smart Welding Machine), kemudahan mengecat dengan standard antarabangsa yang dikawal robot penyembur (spray robots) dan trek ujian sepanjang 2.1 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:44 AM