PENGUNDURAN anggota tak beri kesan kepada perjalanan muzik kerana kekuatan kumpulan tidak terletak pada individu.

Bermula dari Khamis hingga malam ini, Istana Budaya digegarkan dengan lagu-lagu popular Wings melalui Konsert Wings & Superfriends Belenggu Irama.

Ia turut dijayakan penyanyi terkenal Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Ramli Sarip, Ito, Sahara Yaacob, Kudin Tiga Juara dan Bila AF.

Ia bertujuan mengumpul sumbangan buat bekas pemain dram Search, Yazid serta artis lain yang senasib dengannya.

Satu usaha cukup baik dan seharusnya ia mendapat sambutan daripada semua pihak terutama artis sendiri dalam memberi sokongan mereka membeli tiket. Inilah masanya mereka membantu rakan artis secara tidak langsung.

Bagaimanapun, dalam satu laporan, vokalis Wings, Datuk Awie atau Ahmad Azhar Othman meluahkan rasa terkilan dengan sikap artis yang kurang kesedaran untuk membantu sesama rakan artis.

Sememangnya usaha murni itu selalunya banyak rintangan dan ujiannya. Dalam kesungguhan menjayakan konsert ini, mereka diuji dengan khabar angin mengenai pengunduran pemain gitarnya, Joe atau Abdul Zamin Abdul Kadir.

Peminat mula memperkatakan masalah dalaman Wings selepas Joe tidak bersama mereka ketika malam konsert ambang tahun baru di Melaka pada 30 Disember tahun lalu.

Joe juga dikatakan menjadi punca Konsert Wings 30 tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 24 Disember yang ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Khabar angin itu lebih hangat diperkatakan selepas pemain gitar utama itu mula mempromosikan showcasenya bersama kumpulan baru, Prime Domestic.

Akhirnya pada Februari lalu, Datuk Awie mengesahkan Wings kini tinggal bertiga iaitu Awie (vokalis), Eddy (bass) dan Black (dram) selepas Joe meninggalkan Wings.

Sejajar dengan usia, Awie, 48, cukup matang dan terbuka dalam menangani krisis kali ini. Awie menyifatkan Wings seperti keluarga dan jika ada pergaduhan atau masalah akan diselesaikan dengan baik.

Janji Awie, ahli datang dan pergi tetapi Wings tidak akan berkubur. Bagi Wings, ketiadaan Joe tidak akan memberi kesan kepada perjalanan muzik Wings kerana kekuatan Wings adalah pada namanya dan bukan kerana individu itu sendiri.

Dalam meniti usia 30 tahun, pelbagai dugaan dan cabaran dilalui kumpulan yang mula ditubuhkan pada 1985 dengan empat anggota, Awie (penyanyi), Syam (gitar utama), Zul (bass) dan Jojet (dram).

Kumpulan ini tidak terlepas daripada masalah kehilangan anggota dan diganti orang baru. Ia bermula dengan Zul membawa haluan sendiri manakala Jojet menyertai kumpulan Gersang.

Pada 1987, Eddie menyertai Wings mengambil tempat Zul manakala Black (bekas pemain dram kumpulan Babylon) menggantikan Jojet manakala Awie dan Syam kekal selaku anggota asal.

Mereka mula dikenali apabila muncul album pertama, Belenggu Irama dan popular dengan lagu Belenggu Irama, Intan Ku Kesepian, Biarkan Berlalu, Inspirasi Taming Sari dan Peronda Jaket Biru.

Pengunduran Sham pada 1988 digantikan Tham tetapi tidak lama dan kekosongan itu digantikan Joe (bekas pemain gitar utama kumpulan Scandals).

Kehadiran Joe menambahkan lagi kemantapan Wings dan membuktikan bakatnya sebagai pemain gitar utama menerusi album kedua Wings, Hukum Karma pada 1988.

Nama Wings sebaris dengan Search dan Lefthanded ketika itu dan album ketiga, Teori Domino dengan lagu Sejati menjadikan Wings kumpulan rock paling popular pada 1990.

Walaupun anggota silih berganti termasuk vokalisnya, Awie pada 1993 dan digantikan Mel kemudian Mus dan Awie kembali bersama Wings, kumpulan ini terus bertahan.

Pada 2015, sempena ulang tahun penubuhan Wings ke-30, band ini mengadakan konsert berskala besar dan bersejarah bertemakan ‘Konsert Wings 30 Tahun’ di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Semoga Wings terus teguh dan kukuh dan tidak tergugat dengan masalah yang berlaku. Jadikan masalah kumpulan lain sebagai panduan supaya nama Wings terus abadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 5:06 AM