Beirut: Seorang tokoh penting dalam pasukan polis Negara Islam (IS) yang sering melakukan penyembelihan, ditemui mati dipenggal kepalanya di timur Syria.

Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia semalam berkata, mayat Timbalan Amir al-Hesbah (pasukan polis IS) ditemui dengan kesan seksaan.

Pengarah pertubuhan pemantau berpangkalan di Britain itu, Rami Abdul Rahman berkata, mayat lelaki warga Mesir itu ditinggalkan berhampiran sebuah loji penjana elektrik di al-Mayadeen di wilayah Deir-al-Zor.

“Kami tidak pasti sama ada dia dibunuh anggota IS, penduduk setempat atau pejuang lain,” katanya.

Walaupun begitu, Rami berkata, penemuan itu penting kerana lelaki terbabit adalah tokoh penting dalam IS.

Katanya, ia mungkin pertama membabitkan kematian pemimpin al-Hesbah melalui cara itu.

Dalam perkembangan lain, pemantau berkata, penyerang cuba membunuh dua militan IS di bandar al-Mayadeen. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:01 AM