AMBULANS membawa mayat seorang wanita yang maut selepas feri dinaiki karam di barat Myanmar, kelmarin. - Agensi
AFP

Yangon: Sekurang-kurangnya 20 terbunuh apabila sebuah feri membawa tetamu yang baru pulang daripada majlis perkahwinan karam selepas berlanggar dengan sebuah bot di barat lewat kelmarin.

Pegawai berkata, kebanyakan mangsa yang maut dalam tragedi pada malam kelmarin di Sungai Pathein, barat Yangon itu adalah wanita.

“Seramai 16 wanita dan empat lelaki terbunuh dalam tragedi feri ini.

“Kami menganggarkan sembilan mangsa lagi masih hilang,” kata seorang wakil rakyat, Aung Thu Htwe semalam.

Menurutnya, kira-kira 30 penumpang berjaya diselamatkan.

Polis dan media tempatan memberitahu, feri itu dipercayai membawa kira-kira 60 hingga 80 penumpang ketika ia karam pada jam 7.30 malam (waktu tempatan)

“Feri ini membawa penumpang menyeberangi sungai selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Pathein.

“Kebanyakan mangsa mempunyai hubungan persaudaraan dari kampung yang sama,” kata seorang pegawai polis.

Tambahnya, feri dan bot yang membawa batu kerikil itu tidak mempunyai lampu dan bertembung di tengah sungai.

Gambar disiarkan media tempatan menunjukkan pasukan penyelamat berusaha dalam keadaan gelap untuk membawa mayat mangsa ke darat.

Pihak berkuasa dan petugas Palang Merah menyambung usaha mencari baki mangsa yang hilang pada pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 4:00 AM