SUMBER foto viral di Facebook dipercayai dimuat naik seorang daripada penumpang.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Sibu: Pesawat MH2718 dari Kuala Lumpur tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu, di sini, pada 10.17 malam tadi, berikutan hujan lebat.

Malaysia Airlines dalam kenyataan, malam tadi, berkata semua anak kapal dan penumpang pesawat Boeing 737-800 selamat.

Menurutnya, 61 penumpang dan enam anak kapal selamat keluar daripada pesawat menggunakan pintu kecemasan.

"Tiada sebarang kecederaan ke atas penumpang mahu pun anak kapal dalam kejadian ini.

"Keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan kami dan siasatan segera akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian," katanya.

Difahamkan, landasan di lapangan terbang berkenaan ditutup sementara waktu bagi membolehkan operasi mengalihkan pesawat dijalankan.

Penumpang yang dikenali sebagai Muhd Badrul Aman berkongsi kisah kejadian itu di Facebook.

“Kami semua selamat. Ya Allah, terima kasih selamatkan kami," katanya.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai yang rata-rata bersyukur kerana kejadian tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 12:12 AM