FOTO Rasul Azli Samad dan Bernama
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


Melaka: Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan Normalina Alias muncul johan qari dan qariah Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan (MTHQK) Ke-60, di Dewan Seri Negeri, di sini, malam tadi.

Wan Fakhrul dari Wilayah Persekutuan memperoleh 89 peratus manakala Normalina (Negeri Sembilan) mendapat 86.33 peratus.

Qari dan qariah masing-masing membawa pulang Proton Exora, RM26,000 tunai, pakej haji dan piala iringan.

Sementara itu johan hafazan lelaki kategori satu hingga 30 juzuk beserta tafsir dimenangi Muhammad Syazani Jemy dari Johor dengan markah 99.33 peratus.

Nur Amalina Azharuddin dari Melaka dengan markah 96.16 peratus muncul johan hafazan wanita.

Hafiz dan hafizah itu masing-masing juga membawa pulang RM12,000 tunai, tambahan RM10,000 untuk menunaikan fardhu haji serta piala iringan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Bersama MTHQK, Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha.

106 peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada tilawah yang berlangsung 2 hingga 8 April.

Mereka adalah 28 peserta tilawah membabitkan 14 qari dan 14 qariah dari semua negeri seluruh Malaysia manakala 78 adalah peserta hafazan.

Pada penganjuran kali ini, semua peserta acara tilawah diwajibkan membaca al-Quran secara bertaranum dengan dua jenis lagu yang ditetapkan secara berturut-turut.

Bacaan mereka diadili 15 juri yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 10:37 PM