NAJIP Ali. FOTO Aswadi Alias
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Shah Alam: Keputusan merehatkan pengacara popular dari Singapura, Najip Ali sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) dibuat bagi meredakan ketegangan yang berlaku kini.

Ini berikutan dakwaan mengenai tindakan Najip dikatakan mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program OK Chope! di stesen televisyen Singapura Mediacorp Channel 5 pada 29 Mac lalu.

Ketua Pengisian dan Komedi Astro, Bob Azrai Kamaruddin berkata, keputusan menggantikan pengacara itu dengan Datuk Aznil Nawawi adalah tepat bagi menjaga hati semua pihak.

"Najip sudah pun memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia di mana tindakanya itu adalah bijak dan berani. Ini kerana tidak ramai individu yang berani tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di stesen televisyen.

"Saya percaya setiap orang tidak terlepas daripada membuat kesilapan dan dia sudah pun mengaku kesilapannya itu. Namun, kami terpaksa berbuat demikian bagi menjaga hati semua pihak," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas program itu tamat bersiaran di Royal Teater Shah Alam, di sini, malam tadi.

Menurut Bob, pihak Astro juga tidak akan menyenarai hitam nama Najip selepas apa yang berlaku.

"Biar perkara ini reda dulu. Insya-Allah kalau semuanya sudah kembali sejuk mungkin kami boleh panggil Najip bekerjasama dengan kami lagi.

"Janganlah hanya kerana satu perkara kita terus mengecam. Sepanjang mengenali Najip dia adalah seorang insan yang berbakat besar dan rakyat Malaysia mengagumi bakat yang ada pada dirinya,"katanya.

Sementara itu, Aznil berkata, dia bersetuju menerima tawaran itu kerana program itu perlu diteruskan.

"Walaupun tawaran ini berlaku di saat akhir iaitu Rabu lalu, tetapi sebagai bintang dan petugas Astro saya perlu galas tanggungjawab ini. Saya tidak mahu digelar sebagai pengganti Najip tetapi mahu dilihat sebagai meneruskan keceriaan Najip.

"Saya sedar segelintir peminat di Singapura berasa kurang senang. Jadi biarlah saya menjadi air dengan melembutkan dan panjangkan kasih saya buat rakyat Singapura dalam program itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 10:38 AM