CLARKS himpunan musim bunga dan panas 2017.

Clarks himpunan musim bunga dan panas 2017 meraikan wanita dengan kehadiran sepatu direka bagi mencerminkan sikap tenang, gembira dan bersemangat khusus untuk pencinta jenama ini.

Tampil berbeza musim ini, jenama terbabit yang hampir 190 tahun berada di pasaran global dihasilkan secara lebih eksklusif dan mewah menggunakan fabrik kulit dan kulit lembut (suede) yang diakui memberikan keselesaan ketika berjalan.

Memberi tumpuan kepada potongan elegan, rekaan musim ini tidak sesekali mengabaikan fungsi kasut yang menjadi perhiasan terpenting dalam penggayaan selain busana.

Setiap kasut melalui proses kerja tangan yang sangat teliti bermula daripada pemilihan material kulit, jahitan tangan sehinggalah kepada elemen paling penting, iaitu penentuan ukuran kaki, kualiti serta prestasi ketika berjalan.

Rekaan kasut baji Adesha Art memenuhi ciri adi busana bagi wanita moden. Ia direka bagi menyerlahkan sebahagian daripada betis, manakala kulit suede diguna bagi memberikan keselesaan dan menyerlahkan pemakaian. Perincian tali pada bahagian depan memberikan gaya elegan sama ada ke pejabat atau kasual. Ia cantik digayakan bersama seluar atau skirt.

Terkenal dengan rekaan kasut tapak rata serta bertutup pada bahagian depan, musim ini Clarks memperkenalkan Natalia Rio dan Hidi Holly yang menyediakan pelbagai pilihan warna. Ia dianggap pilihan tepat untuk wanita lasak namun mahu bergaya feminin. Rekaan kali ini tidak mustahil bakal diminati ramai kerana hadir dengan potongan sederhana namun versatil.

Rangkaian rona semula jadi ditampilkan bersama corak alam seperti cetakan harimau, flora dan fauna serta lukisan tangan menyerlahkan keaslian rekaan.

Diukir menggunakan dakwat hitam Jepun dan kemudian dicetak secara digital, ia memberikan kelainan dalam penghasilannya. Koleksi ini boleh didapati di semua butik Clarks seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 1:53 AM