Bayi yang ditemui dalam keadaan masih bertali pusat dan berdarah dalam kotak di belakang rumah penduduk di Hutan Melintang. - Foto Ihsan Pembaca
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my

Hutan Melintang: Bayi perempuan yang masih bertali pusat dan berdarah ditemui ditinggalkan dalam kotak di belakang sebuah rumah di Taman Seri Intan 2, Hutan Melintang, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, bayi berkenaan ditemui dalam kotak beralaskan kain oleh seorang wanita berusia 49 tahun yang tinggal di rumah berkenaan, kira-kira 3.30 pagi.

Menurutnya, wanita berkenaan kemudian mengambil bayi berkenaan dan membersihkannya sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, wanita itu terdengar tangisan bayi sebelum memeriksa belakang rumahnya dan menemui satu kotak yang diletak di atas rak.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk pemeriksaan dan rawatan serta sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Polis sudah mengambil keterangan wanita itu dan suaminya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Polis kini berusaha mengesan ibu bayi itu serta pihak yang membuangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 8:41 PM