Aznil berpengalaman selaku pengacara. FOTO fail HM
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi dipilih sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) bagi menggantikan pengacara popular dari Singapura, Najip Ali.

Pengguguran Najip dibuat berikutan dakwaan mengenai tindakannya dikatakan mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam program OK Chope! di stesen televisyen Singapura Mediacorp Channel 5, Rabu lalu.

Jurucakap Astro ketika dihubungi berkata, pertukaran itu dibuat bagi menghormati semua pihak dan meneruskan program itu yang memasuki minggu kelapan malam ini.

"Demi menghormati semua pihak dan terus memeriahkan MLM 2017 untuk peminat, tenaga produksi program MLM mengambil keputusan untuk menggantikan Najip dengan Aznil sebagai juri tetap program itu,” katanya.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad akan membuat pengumuman rasmi mengenai perkara itu selepas tamat siaran langsung MLM 2017 di Shah Alam, malam ini.

Najip memohon maaf dan mengakui tindakannya mempersenda Perdana Menteri itu adalah tidak sensitif menerusi kenyataan yang dikeluarkan stesen televisyen Singapura, Mediacorp Channel 5 di laman web rasmi mereka, Rabu lalu.

Minggu lalu, Mediacorp Channel 5 menayangkan salah-satu satu episod program OK Chope! yang turut menampilkan segmen berkenaan Perdana Menteri.

OK Chope! yang dihoskan Vernetta Lopez menampilkan ahli panel Najip Ali, Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See yang cuba untuk 'chope' ke atas satu sama lain bagi memberikan pandangan mereka mengenai kejadian terbaru di media sosial, berita dan budaya pop.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:05 PM