Alias (depan) bersama sebahagian barang bantuan. FOTO Alias Dollah
Ahli Persatuan Anak-Anak Pasir Tumboh di Perantauan tidur di ladang getah. FOTO Alias Dollah
Oleh Gaddafi Musli
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Sudahlah tak dapat hubungi ibu selama dua hari, apabila nak masuk kampung hantar bantuan, kami terkandas akibat jambatan ditenggelami air sehingga terpaksa tidur di ladang getah."

Itu pengalaman Alias Dollah, 28 bersama sembilan rakannya yang berkonvoi membawa lebih lima tan pelbagai barangan keperluan harian dari ibu negara untuk dihantar ke Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang.

Katanya, sebaik melihat jambatan tidak dapat dilalui kira-kira jam 4 pagi, 27 Disember lalu, dia hampir hilang semangat namun memikirkan nasib ibu dan tiga kakak yang masih belum diketahui dia tekad untuk menghantar kotak makanan walaupun terpaksa berenang merentasi sungai.

"Saya dan rakan daripada Persatuan Anak-Anak Pasir Tumboh di Perantauan ambil masa dua hari kumpul barang bantuan. Kami memandu selama 10 jam menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dan satu lori tapi malangnya terkandas ketika hampir sampai ke kampung," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Alias, dia dan rakannya mengambil keputusan untuk tidur di ladang getah berhampiran dengan beralaskan tikar plastik sambil berdoa supaya air sungai segera surut.

Bagaimanapun, katanya, pada 7 pagi, arus Sungai Nenggiri masih deras dan konvoi tidak dapat melalui jambatan ke kampung berkenaan.

"Mujur ada penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan menaiki bot,jadi kami tumpang hantar barang guna bot berkenaan dan sewa kenderaan lain di kampung," katanya yang bertugas sebagai anggota bomba di Putrajaya.

Sebaik tiba di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Pasir Tumboh bersama barang bantuan, Alias lega apabila mendapati ibu dan seorang kakaknya dalam keadaan selamat manakala dua lagi kakaknya juga selamat di pusat pemindahan lain.

"Saya harap sukarelawan lain di seluruh negara kuatkan semangat ketika menghantar bantuan kerana dugaan berat bukan saja kepada mangsa banjir, malah kepada kita yang mahu menghulur bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 8:36 PM